Persetujuan yang dibuat antara para pemimpin di Potsdam Persidangan_Potsdam

Pada akhir persidangan, tiga ketua kerajaan negara yang terlibat bersetuju pada tindakan berikutnya, dengan semua isu-isu lain yang perlu dijawab pada persidangan aman terakhir akan dikemukan secepat mungkin:

Jerman

  • Pihak Berikat mengeluarkan pernyataan tujuan mereka pendudukan mereka di Jerman: demilitarisasi, penyahnazian, pendemokrasian, penyahpusatan dan dekartelisasi.
  • Jerman dan Austria masing-masing akan dibahagikan kepada empat zon pendudukan (dipersetujui pada awalnya di Yalta) dan tindakan sama juga akan dilakukan pada kota-kota Berlin dan Vienna.
  • Terdapat persetujuan bahawa penjenayah perang Nazi akan dibicarakan dalam pengadilan.
  • Semua jajahan Jerman di Eropah akan dibubarkan termasuk di Sudetenland, Alsace-Lorraine, Austria dan kawasan barat Poland.
  • Sempadan timur barat Jerman akan beralih ke arah barat berdekatan garisan Oder–Neisse, mengurangkan keluasan tanah Jerman sebanyak kira-kira 25% berbanding sempadan 1937. Wilayah-wilayah timur sempadan baru terdiri daripada Prusia Timur, Silesia, Prusia Barat, dan dua pertiga dari Pomerania. Ini kawasan terutamanya pertanian, dengan pengecualian Silesia Atas yang merupakan pusat industri berat kedua terbesar di Jerman.
  • Pemindahan orang Jerman di kawasan luar sempadan timur baru Jerman dilakukan secara "teratur dan berperikemanusiaan" iaitu dari Poland, Czechoslovakia dan Hungary, tetapi tidak pula dari Yugoslavia.[5]
  • Pampasan perang untuk Kesatuan Soviet pada zon pendudukan mereka di Jerman telah dipersetujui. Ia juga dipersetujui bahawa 10% daripada keupayaan perindustrian zon-zon barat yang tidak perlu dalam ekonomi aman Jerman akan dipindahkan ke Kesatuan Soviet dalam masa 2 tahun. Stalin mencadangkan pengasingan Poland dari pembahagian pampasan perang Jerman, dan 15% daripada pampasan tersebut akan diberikan kepada Kesatuan Soviet.[petikan diperlukan]
  • Taraf hidup orang Jerman dipastikan agar tidak melebihi purata taraf hidup Eropah. Jenis dan jumlah industri yang akan dihapuskan untuk memenuhi tahap ini akan ditentukan kemudiannya
  • Potensi industri Jerman akan dimusnahkan melalui pembubaran atau pengawalan semua industri yang berkaitan dengan ketenteraan. Semua limbungan kapal serta kilang-kilang pesawat awam akan dimansuhkan atau dihapuskan jika enggan. Semua keupayaan pengeluaran yang berkaitan dengan perang seperti logam, kimia, mesin dan lain-lain., akan dikurangkan kepada tahap yang telah ditentukan oleh Suruhanjaya Kawalan Berikat. Keupayaan pengeluaran industri yang membuat "lebihan" akan dihapuskan sebagai ganti rugi atau dimusnahkan jika sebaliknya. Semua penyelidikan dan perdagangan antarabangsa akan dikawal. Ekonomi Jerman akan dinyahpusatkan (dekartelisasi), malah ia juga akan disusun semula dengan penekanan utama kepada sektor pertanian dan industri domestik yang aman. Pada awal tahun 1946 perjanjian ini telah sampai kepada butiran kedua: Jerman akan ditukarkan penumpuannya kepada industri pertanian dan industri ringan – arang batu, bir, mainan, tekstil, dan sebagainya – bagi menggantikan perindustrian berat yang membentuk kebanyakan eksport pra-perang Jerman.[6]

Poland

Sempadan lama (dalam putih dan kelabu) dan baru (dalam putih dan merah jambu) Poland, 1945.  Kawasan berwarna merah jambu menandakan wilayah yang dahulunya milik Jerman.
  • Sebuah Kerajaan Sementara Perpaduan Negara diiktiraf oleh semua tiga kuasa akan diwujudkan (dikenali sebagai Poland Lublin). Pengiktirafan Kuasa Tiga Besar terhadap pemerintah yang dikawal Soviet bermaksud berakhirnya pengiktirafan Kerajaan dalam buangan Poland (dikenali sebagai Poland London).
  • Orang Poland yang berkhidmat dalam Tentera British harus bebas untuk kembali ke Poland namun tiada jaminan selamat apabila mereka kembali kepada negara komunis tersebut.
  • Sempadan barat sementara dicadangkan mengikut garisan Oder–Neisse berdasarkan sungai-sungai Oder dan Neisse. Silesia, Pomerania, bahagian selatan Prusia Timur dan Kota Bebas Danzig yang dahulu harus berada di bawah pentadbiran Poland. Bagaimanapun persempadanan muktamad kawasan barat Poland harus menunggu penyelesaian damai (perkara ini mengambil masa 45 tahun kemudian dalam Perjanjian Penyelesaian Akhir Berkenaan dengan Jerman pada tahun 1990)
  • Kesatuan Soviet menyatakan bahawa ia akan menyelesaikan tuntutan pampasan Poland melalui sebahagian bayaran pampasan keseluruhannya sendiri.[petikan diperlukan]

Deklarasi Potsdam

Di samping itu juga, Churchill, Truman dan Chiang Kai-shek yang merupakan Pengerusi Pemerintah Nasionalis China (Kesatuan Soviet tidak berperang dengan Jepun) mengeluarkan Deklarasi Potsdam yang menggariskan syarat-syarat penyerahan diri untuk Jepun semasa Perang Dunia Kedua di Asia pada 26 Julai 1945.